semoga hari ini pembaca budiman dalam keadaan sihat bersama keluarga tercinta,dan dalam rahmat Allah swt...pembaca-pembaca yang dirahmati Allah swt sudahkah kalian mempersiapkan diri mendidik diri dan anak-anak keluarga sahabat handai dalam sunnah baginda Rasulullah?atau menjadikan kehidupan ini akhlak baginda dan cara hidupnya salah satu pakaian dan imej kita?kalau belum mari pembaca-pembaca yang disayangi mulalah dari hari ini saat ini juga,selain dari mendapat keberkatan kehidupan seharian kita lebih tersusun rapi ^_^...cuba baca sedikit ilmu yang dikongsi ini..
~SIRI MENGENALI RASULULLAH SAW-AKHLAK MULIA~
NABI MUHAMMAD S.A.W.
RAHMAT BAGI SELURUH ALAM,
Oleh:
Ustaz Syed Hasan Alatas
“Tiadalah Kami mengutus
engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam.”
(Quran s. al- Anbiya : 107)
Peribadi Nabi Mohammad s.a.w.
sungguh menarik hati seluruh manusia yang mengakui kebenaran, keperibadian
Rasulallah jelas diterangkan dalam al-Quran antaranya Allah berfirman yang
bermaksud:
“Maka disebabkan rahmat
dari Allah (kepadamu Muhammad s.a.w) , engkau telah bersikap lemah lembut kepada
mereka. Kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan
menjauhkan diri dari kamu. Oleh itu ma’afkanlah mereka (mengenai kesalahan yang
mereka lakukan terhadap engkau, dan mohonlah keampunan bagi mereka, dan juga
bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan (permasaalahan keduniaan) itu.
Kemudian setelah engkau berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah
kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal kepadaNya. (al-Quran
s. Ali Imran: 159)
Ini salah satu sifat terpuji
dari peribadi Nabi Muhammad s.a.w. diantara banyak lagi sifat terpuji yang
dimiliki oleh Rasulallah s.a.w., sehingga menyebabkan baginda Nabi s.a.w. telah
dapat membawa suatu perubahan yang luar biasa terhadap masyarakat ummat manusia,
khasnya masyarakat Arab di zaman jahiliah .
Sebelum Islam, Dunia berada
dalam kegelapan, terutama sekali dunia Arab. Penyembahan kepada Tuhan yang
Maha Esa, telah bertukar kepada penyembahan kepada berhala yang mereka ciptakan
sendiri. Perikemanusiaan telah bertukar kepada
sifat-sifat kebinatangan; yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang
miskin, wanita dijadikan sebagai alat pemuas nafsu ataupun sebagai iklan untuk
melariskan perniagaan, jika lahir anak lelaki mereka sungguh gembira, akan
tetapi jika lahir perempuan mereka sampai hati membunuhnya. Ramai pula mereka yang
mengamalkan cinta sesama sejenis, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan
perempuan, kalau ini terus dibenarkan apa akan jadi terhadap ummat manusia
didunia ini, sudah tentu mereka akan pupus, keturunan mereka akan terputus,
inilah yang telah diamalkan oleh kaum Luth.
Sebelum Islam Dunia Arab
berpecah belah, Yaman dikuasai oleh Kerajaan Persia, dan Habasyah, disamping
dikuasai oleh ketua-ketua kabilah. Iraq dikuasai oleh Manazirah yang tunduk
kepada kerajaan Romawi. Najd dan Hijaz dikuasai oleh kabilah Arab yang
masing-masing berdiri sendiri. Perpecahan dan permusuhan diantara mereka
berlarutan beratus tahun, sehingga bangsa Arab mundur dalam banyak hal.
Setalah Islam dibawah pimpinan
Nabi Muhammad s.a.w. bangsa Arab telah disatukan, dibawah satu pimpinan. Mereka
menjadi Ummat yang maju dalam berbagai bidang, malah dapat mengalahkan dua
kerajaan besar Rome dan Parsi. Selanjutnya para sahabat telah mengembangkan
Islam kemerata tempat di dunia ini.
Ummat Islam telah membawa
perubahan besar di Timur ataupun di Barat. Amat menyedihkan setelah Ummat
Islam meninggalkan ajaran Islam yang menyeru kepada kebenaran dan keadilan, dan
mereka terikut-ikut hanyut dalam kancah bertuhankan hawa nafsu, maka
semenjak itu ummat Islam menjadi lemah, mereka dapat dikalahkan oleh musuh-musuh
Islam, sehingga meskipun jumlah Ummat Islam melebihi seperlima penduduk
dunia, dan memiliki jumlah sumber kekayaan yang melimpah ruah, tetapi semua itu
tidak membawa manfaat apa-apa. Malah ummat
Islam dipermainkan, dihina, ditindas. Semua ini terjadi karena kesalahan Ummat
Islam sendiri, oleh itu telah tiba masanya seluruh Ummat Islam kembali kepada
al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Insya Allah Ummat Islam akan memperoleh
kemuliaan dan kesejahteraan yang telah pernah mereka miliki di zaman Rasullah
s.a.w. dan para sahabatnya yang terpilih, Insya Allah.
Rasulallah s.a.w.adalah contoh
teladan yang sebaik-baiknya bagi kita, dalam
semua hal, sebab nabi s.a.w. telah berjaya membawa perubahan yang luar biasa
dalam semua bidang dalam masa yang begitu singkat (hanya 23 tahun).
Baginda telah berjaya merubah
masyarakat musyrikin, yang menyembah berhala, berpecah belah, bersuku puak,
zalim, yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin, yang pandai
menipu yang bodoh bahkan bertebaran kejahatan di daratan dan di lautan
disebabkan amal perbuatan mereka.
Semuanya itu telah dirobah,
menjadi masyarakat yang hanya menyembah Allah s.w.t. Masyarakat yang berpecah
belah, bersuku puak, telah dipersaudarakan menjadi satu masyarakat yang bersatu
padu.
Masyarakat yang zalim, menjadi
masyarakat yang harmonis dimana si lemah dilindungi, si miskin dibela nasib
mereka, wanita mendapat hak-hak mereka yang sebelumnya mereka tak punya nilai,
hanya sebagai alat untuk pemuas nafsu lelaki sahaja, malah mereka dibunuh
hidup-hidup. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w.dari sehari ke sehari
terus mendapat sambutan dari orang ramai. Pimpinan Quraisy semakin khuatir,
kepimpinan mereka akan beralih kepada kepimpinan Nabi s.a.w. Oleh itu mereka
bekerja keras untuk menghalang perkembangan Islam dengan berbagai cara. Tetapi
semua usaha mereka yang jahat itu tak dapat menyekat usaha gigih Nabi s.a.w. dan
pengikutnya yang setia. Melihat kegagalan demi kegagalan yang mereka alami, maka
pihak penguasa Quraisy, mulai berlembut dan mengajak bekerjasama untuk
menghilangkan segala perbedaan yang ada.
Sebagai permulaan mereka
sanggup menyembah Allah s.w.t. di satu masa dan di lain masa pula nabi s.a.w. dan
ummat Islam diminta menyembah berhala yang mereka ciptakan. Semua ajakan tolak
ansur yang menyesatkan ini, juga ditegah untuk diamalkan.
Kita dilarang keras menyembah
makhluk, sama ada (apakah) dia berhala, manusia, ataupun haiwan dsb.
Allah s.w.t.berfirman yang
bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir. Aku
tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak menyembah apa yang aku
sembah. Aku tak pernah menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu pula tidak
pernah menyembah apa yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku."
(Q.S.al-Kaafirun:1-6)
(Q.S.al-Kaafirun:1-6)
Inilah suara Iman dan
Tauhid
yang sebenarnya. Kita dilarang keras
menyengutukan Allah dengan apapun juga. Semua dosa Allah akan ampunkan
kecuali dosa mensyarikatkan (menyengutukan) Allah, tidak akan
diampunkan oleh
Allah s.w.t.
Pemimpin Quraisy menjadi
berang, mereka berusaha pula mengadakan berbagai tekanan yang lainnya, yang
kemuncaknya dengan mengambil suatu keputusan bersama, untuk memulaukan Nabi
s.a.w.dan para pengikutnya yang setia, supaya nabi s.a.w. dan pengikutnya
menjadi lemah dan menyerah kalah. Pimpinan Quraisy mengadakan pertemuan dan
mengambil suatu keputusan
bertulis, dan digantungkan di ka'bah, sebagai satu keputusan yang mesti
dilaksanakan dan dipatuhi oleh semua suku Quraisy untuk memulaukan Nabi
s.a.w. dan kaum beliau Bani Hasyim, antaranya isi dari keputusan itu ialah:
(1) Melarang semua orang
Quraisy berurusan perniagaan dengan Nabi dan
pengikut Nabi s.a.w. terutama bani Hashim dan bani Muthalib.
(2) Tidak boleh mengadakan
ikatan pernikahan dengan kaum Muslimin.
(3) Melarang sesiapapun untuk
bergaul dengan Muhammad dan pengikutnya.
(4) Pihak Quraisy akan
bekerjasama dan membantu sesiapa yang sedia memusuhi Muhammad dan pengikutnya.
Teks perjanjian itu disahkan
oleh semua pemuka Quraisy dan dilaksanakan
dengan tegas.
Abu Thalib bapa saudara nabi
s.a.w. sebagai pendukung dan pembela utama Nabi s.a.w. menjemput semua kerabat
nabi s.a.w.dari keturunan Bani Hasyim, dan meminta mereka supaya bertanggung
jawab dan membela Nabi s.a.w.Semua kerabat Nabi s.a.w. daripada kalangan Bani
Hasyim diarahkan berkumpul di sebuah lembah gersang, yang terkenal dengan nama
lembah Abu Thalib. Pemulauan ini berjalan selama tiga tahun. Kezaliman yang
diluar perikemanusiaan ini, terpaksa ditangggung oleh semua keluarga Bani
Hasyim, dalam suasana kekurangan makanan dan minuman, sehingga ada yang terpaksa
memakan umbut-umbut rumput, kulit binatang, dan sebagainya demi mengisi perut
yang sedang dalam kelaparan.
Setamatnya pemulaun Quraisy terhadap Nabi s.a.w.
dan suku kaum Nabi yaitu Bani Hasyim dan Bani Muthalib, baginda Nabi Muhammad
s.a.w. tidak menghentikan dakwahnya, malah Nabi meneruskan perjuangannya
mengajak manusia ke jalan yang benar.
Pada suatu masa, Nabi pergi
ke Thaif mengajak kaum shakif
kepada Islam, sayang sekali seruan Nabi s.a.w. dibalas dengan ejekan dan
lemparan batu oleh kaum durhaka disitu sehingga darah bercucuran ditubuh Nabi s.a.w.
akibat lemparan batu dan benda-benda keras lainnya. Meskipun demikian Nabi s.a.w
hanya berdoa : “Ya Allah berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya
mereka tidak mengetahuinya”
Berkat
kesabaran dan usaha yang gigih dalam perjuangan, maka hati manusia mulai terbuka
kepada Islam, terutama mereka yang telah dianiaya dan dizalimi. Mereka memeluk
Islam, dan mengamalkan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Mereka
tertarik terutama kepada keperibadian Nabi s.a.w. yang sederhana suka membantu
fakir miskin, yatim piatu dan janda, mengasihi mereka yang lemah, sedia
memaafkan musuh, membenci keganasan, cintakan ilmu pengetahuan, sehingga dalam
masa yang singkat (23 tahun) Islam berkembang dengan pesatnya keseluruh
semenanjung tanah Arab.
Nabi
s.a.w. begitu kasihkan isterinya Siti Khadijah, sehingga baginda hidup rukun dan
damai dengan isterinya Khadijah hingga isterinya wafat, yaitu selama 28 tahun
isteri nabi hanya Kadijah seorang sahaja. Nabi s.a.w berkahwin lain setelah
wafatnya Siti Khatijah. Dikalangan isteri baru Nabi s.a.w, yang gadis hanya siti Aisyah seorang.
Kebanyakan yang lainnya
terdiri para janda untuk menyelamatkan anak-anak yatim, yang menjadi tanggungan
mereka, dan perkawinan Nabi selanjutnya juga untuk menarik kabilah-kabilah
ke dalam Islam.
Quraisy Melanggar Perjanjian Hudaibiya
Ketika
Quraisy melanggar perjanjian dengan Nabi s.a.w. dimana sekutu mereka Banu
Bakr telah menyerang dan membunuh pihak Khuza’a , maka pihak Khuza’a meminta
pertolongan Nabi s.a.w. Maka Nabi s.a.w. bersama 10,000 orang tentera Islam
berangkat untuk melancarkan serangan balasan keatas kaum Quraisy di Makkah.
Sebelumnya memasuki kota Makkah terlebih dahulu Nabi Muhammad s.a.w. memberi
nasihat kepada tentera Islam, supaya tidak membunuh orang tua, wanita,
kanak-kanak, tidak menceroboh dan merosakkan tanaman, tidak membunuh haiwan,
untuk tidak sampai banyak kerosakan. Nabi juga menyeru barangsiapa menutup pintu
rumah masing-masing mereka akan selamat, barangsiapa berlindung di Kabah ia akan
selamat, malah setelah Abbu Sufyan (Ketua kaum Quraisy) masuk Islam, nabi s.a.w.
juga memberi kesempatan barangsiapa berlindung di rumah Abu Sufyan juga dijamin
keselamatannya.
Sementara
dalam persiapan peperangan tiba-tiba Saad bin “Ubada berkata :”Hari ini
adalah hari peperangan, hari dibolehkannya segala yang terlarang…..’
Hal ini
telah melanggar perintah Nabi s.a.w. dimana kaum Muslimin dilarang membunuh
penduduk Makkah. Oleh karena itu Nabi mengambil bendera komando dari tangan
Sa’ad dan diserahkan kepada anaknya yang bernama Qais, terselamatlah penduduk
Makkah dari menjadi korban peperangan, dengan demikian kota Makkah telah dapat
dikuasai dengan menyelamatkan ramai nyawa mereka yang tidak bersalah. Bukan itu
saja malah Nabi s.a.w. telah memberikan pengampunan Umum, termasuk mereka yang
telah banyak berbuat kesalahan dan kezaliman dan penganiayaan kepada nabi dan
pengikutnya. Nabi s.a.w. mengatakan
“Pergilah
kamu sekaliah. Kamu sekarang sudah bebas.”
Setelah
memasuki kota Makkah Nabi Muhammad s.a.w. mengeluarkan perintah jangan ada
seorangpun dibunuh, jangan ada pertumpahan darah. Mereka yang telah melakukan
banyak kesalahan dan khuatir dibunuh, lalu menyembunyikan diri mereka, akan
tetapi akhirnya keluar juga setelah menyaksikan sendiri betapa kasih sayang Nabi
s.a.w. yang telah mengampun secara beramai-ramai, akhirnya mereka keluar dan
datang kepada Nabi s.a.w. memohon supaya dimaafkan, dan Nabi s.a.w.
memaafkannya.
Ramai
manusia terkeliru terhadap Islam disebabkan mereka tidak mengenal Islam, dan
ramai yang melemparkan tuduhan keji kepada Nabi Muhammad s.a.w., disebabkan
mereka tidak mengenal siapa baginda. Akan tetap bagi mereka yang mahu mengkaji
Riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w. akan mengakui tentang betapa tingginya
keperibadian Nabi s.a.w. sehinggakan Ummat Islam sanggup mengorbankan apa saja
demi kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w.